Universiti Teknologi Malaysia Muncul Johan dan Naib Johan
dalam Pertandingan Robocon Malaysia 2023

Dua pasukan daripada Universiti Teknologi Malaysia telah muncul Johan dan Naib Johan di dalam pertandingan Robocon Malaysia 2023 yang diadakan di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia pada 10-13 Jun 2023. Pasukan UTM terdiri daripada 28 mahasiswa dari tiga sekolah kejuruteraan iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE – 23 pelajar), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM – 2 pelajar), dan Fakulti Komputeran (FK – 3 pelajar). Pengurus pasukan adalah PM Ir. Ts. Dr. Mohd Ridzuan bin Ahmad (FKE).

Di dalam pertandingan ini, pasukan UTM B telah muncul Johan manakala pasukan UTM A muncul sebagai Naib Johan. Johan menerima sijil kemenangan dan wang tunai RM10,000, manakala Naib Johan menerima sijil dan wang kemenangan RM5,000. Selain muncul Johan dan Naib Johan, pasukan UTM juga memenangi tiga anugerah khas iaitu Anugerah Teknologi Terbaik (sijil beserta wang tunai RM2,000), Anugerah Kejuruteraan Terbaik (sijil beserta wang tunai RM2,000) dan Anugerah Pasukan Terbaik. Dengan ini, pasukan Robocon UTM telah berjaya mengumpul wang kemenangan terbanyak iaitu RM19,000.

Dengan kemenangan ini, pasukan Robocon UTM akan mewakili Malaysia di dalam pertandingan peringkat antarabangsa iaitu ABU Robocon 2023 yang akan diadakan di Phnom Penh, Cambodia pada 27 Ogos 2023. Doakan kejayaan pasukan Robocon Malaysia di pertandingan ABU ROBOCON 2023.