Majlis Makan Malam Alumni Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) merupakan suatu majlis gilang gemilang yang telah diadakan dengan jayanya di Dewan Tun Hussein Onn, Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2016. Ungkapan penuh bermakna ‘Malam Tautan Abadi’ dipilih sebagai tema majlis ini bagi meraikan para alumni yang pernah menuntut di FKE UTM sejak ia ditubuhkan pada 1973, yang dikenali sebagai Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) ketika itu, sehingga kini dan juga bagi tenaga pengajar dan warga fakulti.

Perancangan dan gerak kerja bagi pelaksanaan majlis ini telah bermula lebih dari setahun yang lalu oleh sekumpulan jawatankuasa kerja yang terdiri dari Jawatankuasa Alumni FKE sendiri, dan diketuai oleh Dr Zaid Omar selaku pengarah program. Pelbagai cabaran yang ditempuhi dan usaha dilakukan demi merealisasikan majlis yang penuh bersejarah ini. Penganjuran Majlis Tautan Abadi 2016 ini turut mendapat kerjasama UTM Alumni, Jazari Robotics Club dan IEEE UTM Student Branch.

Sejajar dengan objektif program, Malam Tautan Abadi berjaya mendapat sokongan menerusi penglibatan 200 orang hadirin pada malam tersebut. Mereka terdiri dari pelbagai generasi graduan FKE UTM samada yang lama dan baru, jauh atau dekat untuk menjadikan majlis ini sebagai platform pertemuan semula. Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor UTM (HEMA) iaitu Y.Bhg. Dato’ Prof Dr Mohd Ismail Abdul Aziz. Turut sama hadir adalah Dekan FKE, Prof Dr Johari Halim Shah Osman, Pengarah UTM Alumni, Prof Madya Dr Mohamad Ibrahim Mohamad, Pengerusi Majlis Profesor UTM, Prof Dato’ Dr Ahmad Darus dan juga mantan-mantan pensyarah FKE. Kehadiran warga staf FKE, para pelajar pascasiswazah, pra-siswazah dan ahli keluarga mereka juga menambahserikan lagi majlis bermakna ini.

Majlis berjalan lancar bermula pada jam 8.00 malam dengan kehadiran para hadirin serta tetamu dan berakhir pada jam 10.30 malam dengan sesi bergambar kenangan bagi semua yang hadir. Pelbagai video montaj berkisarkan perjalanan FKE dahulu dan kini serta FKE Success Stories yang berjaya digapai dipertontonkan kepada semua yang hadir. Gimik perasmian Robot Arm Dance dari DF Automation yang juga merupakan syarikat alumni FKE menggamatkan lagi suasana pada malam tersebut. Turut dibanggakan dan mendapat perhatian hadirin adalah sesi demonstrasi robot dari pasukan Robocon UTM yang telah merangkul Juara di Robocon Asia-Pacific Championship 2016 baru-baru ini.

Kegemilangan pencapaian dan sumbangan para alumni kepada fakulti turut diberi pengiktirafan pada majlis Malam Tautan Abadi ini. Terdapat empat kategori anugerah tokoh alumni FKE yang dinobatkan. Anugerah Alumni Unggul dikurniakan kepada ahli alumni yang meraih pencapaian unggul di dalam kerjayanya serta memberi sumbangan besar kepada fakulti dan universiti, dan penerima anugerah kali ini ialah Dato’ Rozilah Abdullah (Diploma Kejuruteraan Kuasa, 1985).  Anugerah Tokoh Alumni Akademik pula telah dikurniakan kepada Allahyarham Prof Datuk Dr Marzuki Khalid (Diploma Kejuruteraan Elektrik-Kuasa, 1980) berdasarkan sumbangannya dan kejayaannya yang telah mengharumkan nama fakulti melalui pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa dalam bidang akademia. Penerimaan anugerah ini telah diwakili isterinya Prof Datin Dr Rubiyah Yusof. Dr Mazlan Abbas (Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, 1984; PhD Kejuruteraan Telekomunikasi, 1993) telah dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Alumni Industri menerusi kecemerlangannya dalam industri kejuruteraan elektrik di negara, serta sumbangan besarnya kepada fakulti. Bagi kategori alumni yang telah mengharumkan nama fakulti di bidang belia dan kesukarelaan di negara, serta berpotensi melonjakkan lagi nama fakulti pada masa hadapan, Tokoh Alumni Harapan telah disampaikan kepada En Mohd Shahar Abdullah (Diploma Kejuruteraan Elektrik-Elektronik, 2000; Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik-Elektronik, 2004; Sarjana Kejuruteraan Elektronik & Telekomunikasi, 2013). Semua pemenang anugerah menerima plak sebangai tanda penghargaan.

Menerusi penganjuran majlis ini, diharapkan silaturrahim sesama alumni dapat dieratkan dan juga warga pensyarah yang mendidik mereka, serta menjadi pencetus usaha untuk menjalin hubungan usahasama alumni dan universiti di masa hadapan. Selain itu, untung kutipan daripada majlis akan disalurkan kepada Tabung Endowmen sebagai sumbangan Fakulti Kejuruteraan Elektrik kepada universiti.