UTM kuasai Robocon Malaysia 2022

Berita Harian | Oleh Siti Aminah Mohd Yusof bhnews@bh.com.my

 

Robot R1, R2 bakal wakili negara dalam pertandingan di New Delhi

Georgetown: Pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal mewakili negara dalam cabaran ABU Asia-pacific Robot Contest (Robocon) di New Delhi, India setelah meraih tempat pertama dan kedua dalam Pertandingan Robocon Malaysia 2022.

UTM yang mengetengahkan dua kumpulan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik berjaya menewaskan 24 pasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain pada kejohanan yang diadakan di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM) selama tiga hari berakhir semalam.

Ketua pasukan UTM A, Ephraim Lee, 22, berkata, pihaknya telah melakukan persediaan berdepan Robocon peringkat antarabangsa dan kebangsaan secara serentak sejak Oktober 2021 dengan menampilkan robot R1 dan R2 yang masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM5,000 dan RM10,000.

Menurutnya, UTM pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan ABU Asia-pacific

Robocon yang diadakan secara atas talian di China tahun lalu dan berhasrat memperbaiki kedudukan pasukannya pada tahap lebih baik.

“Kekuatan R1 ialah ia direka bentuk sebagai robot statik tanpa navigasi dan dilengkapi mekanisme tiga roda tenaga untuk menembak sasaran dengan kelajuan tinggi dan tepat sesuai matlamat pertandingan.

“Dalam hal ini robot yang dicipta perlu merobohkan lagori atau susunan cakera di tengah medan tempur dan kemudiannya membina semula lagori itu mengikut aturan warna yang ditetapkan.

“Pendek kata, permainan dimulakan dengan merempuh serta memecahkan lagori dan kemudian membinanya semula dengan pantas untuk memenangi pertandingan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Sementara itu, ketua pasukan UTM B, Lee Jia Quan, 21, berkata, pihaknya menghadapi masalah kerosakan motor pada R2 dan proses memperbaiki komponen itu hanya selesai jam 2 pagi tadi dan sedikit sebanyak mengganggu waktu rehat peserta menjelang peringkat akhir pertandingan semalam.

“Kelebihan R2 pula ialah ia mempunyai sensor laser yang membuatkannya responsif untuk mengenal pasti cakera mengikut saiz dan warna selain mempunyai pencengkam khas serta dilengkapi pencakar belakang untuk menimbun cakera dan mengumpul bola pemukul.

“Jika diikutkan robot kami hanya siap sepenuhnya kira-kira sebulan lalu dan kami sanggup tidur beberapa jam sehari selama beberapa minggu untuk pertandingan ini ditambah pula jadual kelas dan tutorial yang padat,” katanya menambah setiap IPT bertanding dibenarkan menghantar dua pasukan untuk meningkatkan peluang kemenangan.

Info : https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian-malaysia/20220606/281771337832692