Sebanyak 19 buah rumah dihuni seramai 145 penduduk orang asli Kampung Tewowoh di Mersing Johor terbabit dalam projek Pemasangan Sistem Solar Panel (PV) dan penghad tenaga hasil tanggungjawab sosial korporat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam). FOTO IHSAN UTM

Mersing: Ramadan kali ini memberi sejuta makna bagi penduduk Orang Asli di Kampung Tewowoh di sini apabila buat pertama kali sepanjang hidup, mereka dapat menikmati bekalan elektrik sepenuhnya.

Penduduk kampung itu sebelum ini terpaksa bergantung kepada bekalan elektrik melalui penjana diesel yang bukan sahaja menghasilkan bunyi bising, tetapi menelan belanja RM300 sebulan dengan hanya empat jam penggunaan setiap hari.

Kemudahan itu dinikmati 145 penduduk di situ yang terbabit dalam projek Pemasangan Sistem Solar Panel (PV) dan penghad tenaga hasil tanggungjawab sosial korporat (CSR) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam).

Menurut Ketua projek, Prof. Madya Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian, kampung berkenaan tidak pernah menikmati bekalan elektrik yang berterusan kerana lokasinya yang jauh di pedalaman selain faktor geografi yang mencabar.
ADVERTISEMENT

Katanya, penduduk kebiasaannya menggunakan penjana diesel berkapasiti kecil untuk kegunaan empat jam dengan kos RM300 sebulan.

“Menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), ia adalah kampung Orang Asli terakhir di Johor yang belum pernah mendapat bantuan untuk tenaga elektrik.

“Atas keprihatinan kami, UTM melalui Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) mencadangkan kepada Bank Islam untuk membangunkan sistem tenaga elektrik solar untuk 19 rumah di kawasan ini.

“Menerusi tajaan Sadaqa House Bank Islam, UTM dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, ILP Mersing, Politeknik Port Dickson, Politeknik Muadzam Shah dan Kolej Komuniti Segamat 2 berjaya memasang solar PV serta pendawaian baru bagi lampu, kipas dan pengecas telefon untuk kesemua rumah di kampung ini.

“Selain itu, teknologi penghad tenaga turut digunakan bagi memastikan sistem ini dapat bertahan sekurang-kurangnya lima hingga 20 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penduduk juga diajar supaya dapat melakukan aktiviti asas penyelenggaraan sekali gus memastikan sistem yang dibangunkan bertahan lama.

“Penduduk menyatakan mereka tidak perlu lagi menghidupkan penjana petrol pada awal pagi dan dapat mengelakkan bunyi bising di awal pagi, selain menjimatkan pembelian diesel,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2022 @ 5:00pm