Universiti Teknologi Malaysia Muncul Johan dan Naib Johan
dalam Pertandingan Robocon Malaysia 2021

Dua pasukan daripada Universiti Teknologi Malaysia telah muncul Johan dan Naib Johan di dalam pertandingan Robocon Malaysia 2021 yang diadakan secara atas talian pada 20-23 September 2021. Pasukan UTM terdiri daripada 28 mahasiswa dari tiga sekolah kejuruteraan iaitu Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE – 19 pelajar), Sekolah Kejuruteraan Mekanikal (SKM – 7 pelajar), dan Sekolah Komputeran (SK – 2 pelajar). Pengurus pasukan adalah PM Ir. Dr. Mohd Ridzuan bin Ahmad (SKE) dan dibantu oleh Dr. Saiful Azimi Mahmod (SKE).

Di dalam pertandingan ini, pasukan UTM A telah muncul Johan manakala pasukan UTM B muncul sebagai Naib Johan. Johan menerima sijil kemenangan dan wang tunai RM10,000, manakala Naib Johan pula menerima sijil dan wang kemenangan RM5,000. Selain muncul Johan dan Naib Johan, pasukan UTM juga memenangi 4 anugerah khas iaitu Anugerah Kelestarian, Anugerah Rekebentuk Terbaik, Anugerah Teknologi Terbaik, dan Anugerah Kejuruteraan Terbaik. Setiap anugerah memberikan sijil dan wang tunai RM2,000. Dengan ini, pasukan Robocon UTM telah berjaya memungut wang kemenangan terbanyak iaitu RM23,000.

Dengan kemenangan ini, pasukan Robocon UTM akan mewakili Malaysia di dalam
pertandingan peringkat antarabangsa iaitu ABU Robocon 2021 yang juga diadakan di
atas talian di Jimo, China pada bulan Disember 2021 nanti.

Doakan kejayaan pasukan Robocon Malaysia di pertandingan ABU ROBOCON 2021.