Program SpeEd Robotics Workshop 2020 perkasa kemahiran pelajar dalam bidang elektronik
Pada 9 Mac 2020 (Isnin, 8.00 am -5.00 pm), Persekutuan Pengakap Malaysia daerah Johor Bahru telah menganjurkan program SpeEd Robotics Workshop 2020 dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan di mana para pelajar dan guru didedahkan dengan aktiviti berasaskan elektronik, teknologi robotik, drone dan berkaitan dengan internet, atau lebih dikenali sebagai IoT (Internet of Things).
Pasukan STEM-RBTK yang dibarisi oleh para pensyarah dari bidang Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, Sekolah Kejurteraan Elektrik yang diketuai oleh Dr. Fauzan Khairi bertanggungjawab dalam memberi tunjuk ajar kepada peserta yang hadir dalam pengaturcaraan robotik.
Selain itu, pasukan dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK) dan IEEE Malaysia Section Education Society memberi focus kepada pengaturcaraan dan penggunaan drone.
Peserta program ini adalah berjumlah 96 orang merangkumi 70 orang murid dan 26 orang guru pembimbing. Peserta terdiri dari pelajar aliran perdana dan aliran khas dari 33 buah sekolah sekitar Johor. Semoga aktiviti seperti ini dapat memindahkan ilmu teknologi elektronik kepada para pelajar dan guru yang hadir.
Terdapat empat modul yang dijalankan untuk program ini iaitu robot memilih jalan, robot kereta, robot membawa barang dan juga robot drone. Modul ini dipilih kerana anggapan bahawa pelajar sekolah rendah yang sukakan sesuatu yang bergerak dan boleh melakukan arahan yang bersesuaian menggunakan alat kawalan jauh. Alat kawalan jauh yang akan digunakan ialah telefon pintar. Manakala, para guru juga diberi peluang untuk turut serta bersama-sama pelajar mereka menjayakan setiap modul yang akan diberikan.